Isnin, September 19, 2011

Pemulihan bermula...

Sup Haruan ternyata berkhasiat dan berkemampuan membantu proses pemulihan luka pada tubuh dan kulit. Maka itu, Sup haruan ala mamak ini menjadi menu harian ketika di rumah.



Teringat akan kata penjual ikan di pasar malam Jenjarom beberapa malam yang lalu, lantas lepas waktu pejabat aku selusuri jalan kampung Jenjarom dari satu lorong ke satu lorong untuk mencari penternak Haruan. Telah hampir aku dipenghujung kampung masih belum bertemu, tergerak aku berhenti di sebuah kedai ditepi jalan kampung. Lantas aku terpandang tulisan 'HARUAN' digantung di muka depan kedai. Alhamdulillah... akhirnya aku berjaya menjejak lokasi penjual haruan yang dimaksudkan. Hasrat untuk memberikan Shafiq sup haruan untuk pemulihan luka pembedahannya harus aku mulakan secepat mungkin, memandangkan inilah peluang aku untuk melihat supaya dia segera dapat dipulihkan. Khasiat ikan haruan sememangnya sudah terbukti berkesan membantu luka dan penyembuhan luka pada tubuh dan kulit. 3 ekor haruan liar yang masih hidup seberat 900gm aku bayar sebanyak RM20.00, harga yang di mohon RM18.00 sebenarnya namun itulah rezeki penjual hari itu. Menurutnya harga pasaran 1kg adalah RM25.00.

Sebelum Shafiq sampai di rumah, sup harus sudah terhidang... itulah azam ku. Dan bermulalah operasi menamatkan riawayat sang haruan yang sungguh ampuh! menyiang dan membersih 3 ekor haruan sahaja memakan masa hampir 30 minit!. Aku sudahpun berkira untuk memasak sup yang selazat mungkin supaya tiada berbau hamis dan ianya boleh menambat selera Shafiq. Ingat pesan sipenjual haruan tadi supaya tidak membasuh dengan terlalu bersih agar khasiatnya kekal. Tapi mana mungkin sedang dibasuh bersih juga masih berbau inikan pula jangan dibasuh bersih. Aduhai mana mungkin? Aku gunakan tepung gandum untuk membuangkan segala lendir pada sang haruan, sebanyak 2 kali aku cuci dengan tepung gandum supaya hilang bau yang kurang enak (inilah petua yang diperturunkan kepada ku). Lebihkan penggunaan halia pesanannya juga tadi. Sup haruan mamak! resipi hidangan malam kami... untuk membuatkan Shafiq makan ikan dan sup, kami seisi rumah juga menikmati hidangan yang sama, kesudahan 3 pinggan habis dimakan oleh Shafiq, puas hati ku melihatkan akan selera makannya. Alhamdulillah..... apa yang aku masak menepati seleranya dan semuga ini akan dapat membantu proses penyembuhannya. Menurutnya jahitan pembedahan masih tidak boleh dibuka dan hanya akan dibuka pada 28.09.2011 nanti.

Keadaan Shafiq amat menyedihkan aku, walaupun baru seminggu dia pulang ke Universiti, dia tampak jelas pucat dan kekeringan. Matanya cengkung dan mukanya mengecut, sedih hati melihat keadaannya yang jelas tidak terurus begitu. Menurutnya selama beberapa hari dia tidak lena tidur kerana sakit yang melampau, walaupun telah menelan ubat penahan sakit. Di rumah diet hariannya dijaga rapi, sebiji buah Kiwi setiap pagi, kerana kandungan vitamin C yang tinggi dibandingkan dengan buah-buahan yang lain. Lebih hidangan sayur dan minum lebih air, agar kesihatannya kembali pulih. Walau dia merungut berat badannya mula menaik dan berhajat mengawal diet hariannya, aku maklumkan sementara peluang bercuti di rumahlah dia harus menjaga cara permakanan, tidur yang cukup, dan makan ubat mengikut waktu supaya kesihatannya dapat pulih lebih awal dari sepatutnya. Apa yang kami khuatiri dia terpaksa pulang semula ke Universiti sebelum dia betul-betul pulih dan mendapat penjagaan yang sepatutnya. Memikirkan dia harus melakukan banyak perkara sendirian bilamana teman-teman yang lain pastinya sibuk dengan kuliah dan aktiviti harian mereka. Walaubagaimana pun terima kasih kami yang tidak terhingga kerana selama Shafiq di Universiti selepas keluar dari Hospital, teman-teman seangkatannya ramai yang membantu dan merawatnya. Terima kasih dari Cik Su sekeluarga.... hanya Allah saja yang dapat membalas segala kebaikan kalian..... WaAllahualam....

Rabu, September 14, 2011

Tak kala masa ku rasa terlalu panjang......

Saat cemas... penantian yang panjang.... sebelum pembedahan....
Berada di ruang pertama dewan bedah..... aku hanya melihatnya dari luar ketika pengesahan pesakit sekali lagi dilakukan...

Tepat jam 9.45 malam Shafiq disorong keluar dari Dewan Bedah.... Keadaannya ketika di wad 5, katil 11, HAT


Ketika kisah ini ku tuliskan, Shafiq telah 6 hari dibedah, telah pulang ke Universiti pada hari Ahad 12.09.2011 walaupun dalam cuti sakit dari pihak Hospital. Namun demi komitment nya yang tidak berbelah bagi dia tetap gagah pulang walaupun dalam keadaan kesakitan yang masih terasa, menjalani pembedahan 2 phasa, pembetulan tulang dan pemulihan tandon, muscle atau tisu aku tak pasti yang mana sebenarnya kerana Doctor memaklumkan sendiri dengan Amin ketika pertemuan dengan Doctor sebelum pembedahan........ Alkisah........

Saat yang dinanti tiba juga, walaupun cemas kami hadapi dengan tabah. Tarikh 8.9.2011 Shafiq telah pun bersedia seawal pagi menanti gilirannya, walau telah dimaklumkan bahawa dia merupakan pesakit ke 6 namun dia sudah pun bersedia membersihkan diri dan memakai baju putih seawal pagi sepertimana yang diarahkan oleh Jururawat yang bertugas. Kerana telah dimaklumkan tentang jadual pembedahan, kami tidaklah terburu-buru dari rumah. Dipertengahan jalan aku menaliponnya dan dia memaklumkan bahawa dia sedang menuggu untuk dipanggil, dan waktu itu menunjukkan jam 11.10pagi, takkala itu Amin membesit kereta hingga 150kmj, kena saman pun takpa lah katanya, aku yang duduk disisi terdiam dan mata ku hanya melirik kepada meter kelajuan kereta, doa ku semuga perjalanan kami selamat dan sempat sampai sebelum waktu Shafiq masuk ke bilik bedah. Alhamdulillah... sampai di wad 5 aku dimaklumkan bahawa Shafiq masih dikatil, sah..... dia sedang cemas menuggu. Hingga jam 2.00 petang masih tiada berita dari bilik bedah dan jawapan yang aku terima dari Pegawai Perubatan yang bertugas. Sepanjang waktu menunggu aku bersamanya, memandang dia berpuasa sedari jam 11.00 malam, maka aku pun tidak berasa lapar ketika itu. Jam 2.00 petang, Amin pulang kerumah untuk menjemput Hani, Dania dan Cik Wok dengan izin Shafiq kerana Dania beria-ia untuk melawat abangnya dan bersama abang di hari pembedahannya. Itulah Dania, dia sememangnya penyanyang dan perihatin tentang kami semua.

Jam 4.50petang, Pegawai Perubatan masuk dan minta supaya Shafiq ke bilik air dan bersedia untuk ke bilik bedah. Sebenarnya aku pernah melalui saat cemas sebegini sendirian, dibedah seawal jam 8 pagi kerana 'humurous fracture' dan 'bone graft' pada tahun 1989, pengalaman itu aku kongsikan bersamanya supaya dia lebih yakin untuk menghadapi saat-saat cemas. Degup jantungnya dapat aku rasakan, namun aku pasrah dan berserah.... demi kesihatan dan kebaikannya, inilah yang terbaik.... Ya Allah kau berkatilah hamba mu Ya Allah..... aku berzikir sepanjang aku mengiringi Shafiq yang didorong oleh seorang jururawat dan attendent hospital yang tenang dan komited dengan tugas mereka.

Jam 5.05 petang, kami sampai di pintu bilik bedah..... hati ku sayu, aku lihat dia dipembaringan... aku pasti berbaur perasaan yang menimpanya. Inilah pengalaman yang tidak dapat dibeli sebenarnya. Peristiwa yang terjadi memberikan dia pengajaran.... believe me its hard to discribe! "Kak.... akak boleh tunggu kat bilik sebelah, ada bilik menuggu...." kata attendent yang menyorong Shafiq. Aku pasti dia tahu gelojak hati ku, "Ok.... terima kasih..." jawab ku sambil mengangguk kepala padanya. Tak lama menuggu muncul Dania, Hani, Cik Wok dan Amin. Tak lama Ayu dan 2 orang lagi kawan Shafiq menjengah. Kepada Cik Wok yang menunggu dan bersama ku ketika saat cemas ini, terima kasih yang tidak terhingga. Cik Wok yang berpuasa, berbuka di bilik menuggu kerana tidak mahu meninggalkan Hospital pada saat itu. Terima kasih juga kepada Ayu dan kedua-dua kawannya kerana sudi menziarah Shafiq, walaupun tidak sempat berjumpa dan tidak menunggu lama, kehadiran kalian sangat bermakna....thanks again....! Masa ku rasa terlalu perlahan, sekejap aku melihat jam ditangan. 1...., 2......., 3......, 4...... jam masa berlalu..... setiap masa terdengar derap kaki dan pintu dibuka, kami menjonggol kepala keluar! Amin paling gelisah...aku tahu dia cemas kerana ketika Shafiq ditolak masuk ke dewan bedah dia tiada, jadi dia tidak segan untuk bertanya kepada jururawat yang keluar masuk ke dari dewan bedah. Teringat aku tadi ada memaklumkan bahawa Shafiq akan berada dalam dewan bedah hingga jam 9.00 malam, jadi dia menyarankan agar aku tidak membuang masa menuggu disitu. Aku maklumkan kepada Amin sepertimana yang telah dimaklumkan kepada ku dengan harapan agar dia tidak cemas dalam penantiannya. Lewat jam 9 malam kami bertambah gelisah, duduk tak senang berdiri pun tak kena. Kami dimaklumkan bahawa Shafiq sudah pun sedar dan sekarang dia sedang berihat sebelum dibawa ke wad. Walaupun kami lega namun hati masih belum tenang. Tepat 9.45 malam Shafiq disorong keluar dari dewan bedah, kami berbaris di luar bilik menuggu dan tak kala dia keluar kami dengar denyut jantungnya yang kuat terpasang alat didadanya... matanya yang merah dan dia tampak lemah..... "Shafiq....!" Nenek Wok memanggilnya.... "Abang..." Papa memanggilnya...... takkala itu dia mengangkat kepala dan melihat kami membututinya dari belakang..... Hati ku lega melihat dia yang sudah sedar.... Alhamdulillah.... aku bersyukur kehadrat mu ya Allah.... Syukur... syukur... syukur..... Hani dibelakang sekali... dia menangis takkala melihat keadaan abangnya yang berada dipembaringan. Sepanjang menuggu di wad semasa process peralihan ke katil dan kemaskini pesakit, Hani tidak dapat menahan air mata apabila melihat keadaan abangnya, dia yang agak keras hati sememangnya sangat rapat dan kasih akan abangnya. Aku tahu dia tidak tergamak melihat keadaan abang yang begitu......Hatinya sayu aku pasti, melihat keadaan yang begitu hati mana yang tidak meruntun pilu? Airmata ku tahan supaya tidak tumpah dihadapan Cik Wok dan anak-anak.... aku akui, sememangnya murah dengan airmata.....

Kami diberi keizinan untuk menziarah Shafiq, takkala melihat kehadiran kami, shafiq bergas dan tampak cergas walaupun sebenarnya dia masih lemah. Semangatnya kuat.... sokongan yang diberikan memberikan dia suntikan yang kuat untuk bangun dan melawan lemah bius. Aku memohon supaya dapat bermalam dan menjaganya, namun permohonan ku ditolak dengan alasan mereka. Shafiq sendiri memberikan jaminan bahawa dia sihat dan boleh untuk ditinggal. Setelah menyediakan milo panas dan roti untuk dia berbuka selepas 4 jam, dia kami tinggalkan dengan pesanan dan janji akan datang esok hari....

Isnin, September 12, 2011

Sebuah pemergian.... Alfatiha...

Jam 5.30 pagi aku menerima panggilan talipon, tapi tidak aku jawab kerana tidur ku yang lena..... aku menyesal sekali. Terjaga dari tidur aku langsung tidak melihat handphone di sisi, sehingga aku tiba di pejabat dan melihat handphone kerana mencari nombor talipon aku terlihat missed call dari Mak Yah (nama panggilan anak-anak ku kepada Kak Fauziah yang telah mengasuh Shafiq semasa baby). Aku balas panggilannya namun tiada jawaban.... aku cemas... kerana merasakan ada berita yang kurang senang dari Mak Yah pastinya, kalau tidak masa Mak Yah call diawal pagi. Fikiran ku terus ke Laen, kawan Hani yang merupakan anak saudara Mak Yah. Aku hubungi Hani yang kebetulan tidak ke sekolah hari ini menyatakan tentang panggilan awal pagi dari Mak Yah dan menjangka berita tentang Laen. Setelah beberapa minit Hani menalipon ku semula dan memaklumkan bahawa sangkaan aku memang tepat. Laen teman persekolahannya dan anak muda yang menjadi topik blog ku selama ini telah pulang ke rahmatullah..... Laen anak muda yang dikesan pada April 2010 mengidap penyakit Lukimea dan mendapat rawatan yang berterusan dari Hospital Ampuan Rahimah telah pulang menemui penciptanya dengan aman dan tenang. Berakhir kesengsaraan yang selama ini ditanggung.... dan aku teringat cerita Hani tentang ketakutan yang disuarakan Lean kepadanya. Dia pernah menyatakan bahawa dia takut menghadapi saat-saat akhirnya nanti. Ya Allah anak remaja yang baru setahun jagung takut akan mati inikan pula kita yang sudah tua ganyut! Bersediakah aku?? sebagaimana Laen? Mengingatinya membuatkan aku insaf bahawa ajal dan maut tidak mengira usia bila kita dipanggil dan menginsafi diri. Doa ku semuga Allah menempatkan rohnya dikalangan hamba-hamba yang soleh dan beriman. Dan kepada keluarga Laen, semuga mereka tabah dalam menghadapi kehilangan insan tersayang. Terakhir aku menulis kisah Laen yang bertandang ke rumah pada 5 Oktober 2010 'Sebagai Tetamu Istimewa' kami.... menjadi kenangan bersama Laen ketika hayatnya dan perjuangan melawan Lukimea...

Note: Laen menjadi sumber inspirasi aku menulis tentang kekuatan semangat juang yang tinggi. Sebanyak 4 topik yang berlabel 'Laen dalam kenangan....' khas aku tulis kerana kagum dengan keberaniannya dan kekuatan semangatnya dalam menghadapi dugaan Allah yang hebat sebagai renungan bersama... Alfatihan untuk arwah Solehin Bin Abdul Wahab semuga Allah tempat kamu disyurga firdausi... InsaAllah....

Foto keluarga 2011 @ Syawal 1432H




Sempat gak berposing sebelum kami pergi beraya di Kampung SC....


Photo candid oleh Adi.....






Seperti kebiasaan, peluang untuk bergambar keluarga dibuat dipagi Raya, namun untuk tahun ini Amin agak keberatan untuk bergambar di pagi Syawal di kampung..... tak taulah kenapa? Hajat dan niat ku kesampaian juga dengan ihsan dan kerjasama dari Malia dan Adi ketika kami berkunjung dikediaman mereka pada 3 Syawal 1432H.Inilah photo-photo candid kami sekeluarga sempena Syawal 1432H di kediaman Adi dan Malia. Terima kasih banyak kepada pasangan ini...... you are wonderful... muuahhh

Ahad, September 11, 2011

Rumah terbuka Hari Raya

My brothers & family n my cousins n family...

My cousins.....

Bersantai di luar....


Tetamu ku dari kaum India....Sir Ari & Sir Alvin dengan keluarga


Wahid dan keluarga...


Siva dan Nora my Indian and Korean couple friends....


My neightbours.... En. Ali and family


Yati saudara disebelah suami yang sangat rapat dengan kami sekeluarga...


Sahabat Taekwando kami....


Senonim dengan sebutan 'Jamuan Rumah Terbuka Hari Raya' biasa dan lumrah menjadi amalan rakyat Malaysia. Termasuk aku juga yang mengamalkan majlis ini. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tapi terlanjur ramai teman yang ingin bertandang ke rumah kami, maka kami cadangkan satu hari yang khas iaitu pada 6.09.2011 bersamaan 8 Syawal 1432H, dimana beberapa juadah dapat kami sediakan untuk teman, sahabat handai dan taulan untuk menikmatinya sambil dapat kita menjalin silatulrahim sesama rakan dan taulan tanpa mengira bangsa, keturunan dan ugama.

Untuk tahun ini, juadah yang mampu kami sediakan hanyalah Nasi Briyani, Kari Kambing, Kurma Ayam, Mee Kari, Laksa, Ketupat, Rendang Ayam dan Kuah kacang. Juadah yang termampu untuk aku masak sendiri kecuali Kuah Kacang dari sepupu ku Ina yang sudi membantu aku. Kuah Kacangnya memang special dan sedap.

Ribuan terima kasih kepada yang sudi hadir dan mohon maaf seandainya ada kekurangan semasa kunjungan kalian di kediaman kami, InsaAllah ditahun hadapan seandainya diizinkan Tuhan kita akan bertemu lagi...