Jumaat, Ogos 17, 2012

Pelayaran ke tanah seberang...

Sauh dibongkar dan pelayaran bermula.... destinasi ke tanah seberang bersama wira-wira KD Hang Tuah.  Beberapa pelayaran telah dilalui selama berada di Lumut dan ia akan menjadi sebahagian dari routine tugas sebagai anak kapal yang akan berkhidmat untuk Negara.  Pengorbanan yang ditunjukkan membuktikan kesetiaan kepada negara, bangsa dan agamanya.  Tugas yang mulia namun mungkin tanpa disedari menuntut pengorbanan besar.  Bergegar seluruh perasaan kami suami isteri untuk melepaskan pemergian di kala Syawal.  Untuk pertama-tama kalinya melihat airmata yang mengalir dari kelopak suamiku.  Aku kira akulah yang cengeng! rahsia terbongkar..... sebak didada hanya Allah yang tahu.  Bila bertalian dengan Shafiq, kami sering memberikan dia semangat untuk terus melangkah.... aku kira gelojak hatinya sama, namun keegoaan kami mengaburi kelemahan.   Semalam Shafiq menghubungi ku untuk sedikit belanja bila dia berpeluang untuk berbuka diluar.  Sejak sehari dua aku sememangnya bercadang untuk memberikan dia sedikit perbelanjaan untuk persediaan hari raya. Walau dia anak ku yang sudah berpendapatan sendiri, namun dia tetap mendapat habuan dan peruntukan raya sebagaimana adik-adiknya.  Di hati sejak sebelum dia berangkat ke Lumut aku sudah berkira-kira untuk mendapatkan dia sepasang kasut baru, namun dia menolak.  Mungkin kerana persedian sebelum ke Lumut sudah menelan banyak belanja aku kira maka dia berkeras menolaknya, kelmarin semasa di Jasco terpandang kemeja Polo yang cantik tapi tidak kesampaian kerana potongan kemeja yang agak besar mungkin tidak sesuai untuk Shafiq yang menggemari kemeja yang fit mengikut tubuhnya.  Kesempatannya berbuka di luar aku cadangkan supaya dia mendapatkan baju dan seluar raya untuk dirinya.  Bukan niat untuk mencurahkan dia dengan kemewahan, tetapi aku mahu dia mengerti bahawa bagi kami tiada pilih kasih diantara anak-anak  yang lain. 
Dalam perjalanan berbuka ke Impiana, aku bercerita tentang Shafiq dengan Papa, Hani dan Dania.  Papa membuat pengakuan bahawa dia juga berhasrat yang sama untuk Shafiq, wang perbelanjaan raya buat anakda.  Keperluan adik-adik untuk sambutan hari raya sudah siap, namun untuk Shafiq apa yang sempat kami sediakan hanyalah sepasang baju melayu itupun tidak sempat dibawa bersama kerana tempahan lewat disiapkan.  Hasrat kami untuk menghantar baju melayu bersama kuih raya ditolak, memandangkan kesukaran untuk penghantaran dan procedure yang melecehkan menurutnya.....  pengalaman pertama Shafiq berhari raya di perantauan dan bertugas ketika Syawal, diari seorang Pegawai Tentera Laut bermula.... semuga perjalanannya bersama rakan seperjuangan akan sentiasa mendapat keberkatan dan keredhaan Allah Ajawajalla...  To my hero, we are proud of you.... nothing to compare others to you, remember the slogan of UPNM Duty, Honor, Integrity is at your shoulders..... slogan yang sering kami lihat setiap kali memasuki kawasan UPNM membuatkan bulu roma kami turut berdiri bila melafazkannya. Ianya seolah-olah membakar semangat bila melihat dan membacanya.  Slogan inilah yang membakar semangat wira-wira dan wirawati-wirawati UPNM selama ini.  Untuk semua wira dan wirawati UPNM, kalian merupakan harapan Negara, Bangsa dan Agama, tanggungjawab di bahu kalian dan Kewajipan, Maruah, Integriti menjadi tunggak kepada perjuangan kalian..... Negara berbangga punya anak muda seperti kalian... Kalian adalah wira negara....Salut!

Khamis, Ogos 16, 2012

Baju Melayu buat anakda..

Hati gembira bertukar menjadi duka.... namun itulah hakikatnya, bagi semua kita akan gembira bila dapat berhari raya bersama keluarga, tidak kira siapa kita.  Tetapi bagi sesetengah orang kekurangan ini harus diterima andainya insan tersayang tidak dapat bersama meraikan hari bahagia kerana tugas dan tanggungjawab kepada negara, bangsa dan agamanya.   Pengorbanan dan kesediaan ini harus ada bagi kedua-dua pihak insan yang bertugas dan saudara kepada mereka ini.  Umpama pengorbanan anggota keselamatan yang berada di perbatasan sudah tentunya tanggungjawab harus digalas.  Dan tidak kurang juga anggota keselamatan yang bertugas untuk ketenteraman awam di bandar dan di desa di mana kehadiran mereka amat diperlukan lebih-lebih lagi ketika perayaan. 
Begitu juga kami sekeluarga yang kurang keriangan tanpa kehadiran seorang anggota keluarga yang sudah ditentukan terlibat dengan pelayaran ketika Syawal.  Berita pada mulanya dia dapat pulang berhari raya bertukar hambar bilamana kami dimaklumkan bahawa dia akan berlayar kelautan Indonesia.  Menjadi tandatanya juga.... mengapa pada saat ini?  Namun itulah kenyataannya.  Bagi anakku, kami mendoakan semuga selamat pelayaran dan tercapai missi yang dihajatkan ketika didalam pelayaran.  Anak ku mungkin satu-satunya yang senasib dengan suami sepupuku yang terlibat dengan tugasan begini..... di lautan tidak mengira waktu.  Hanafi juga belayar pada minggu ini, dia akan berada di Sarawak menurut sumbernya tetapi belayar ke perairan mana tidaklah aku pasti lagi.... isteri dan anak-anak beliau telah lali dengan situasi ditinggal belayar, namun di hati mereka tetap mengharapkan kehadiran ayah ketika Syawal. 
Sepasang baju melayu baru sudah siap tergantung untuk anakku sedondon dengan si Papa.  Baju Melayu sudah siap dibasuh dan digosok hanya menuggu untuk disarung dibadan, namun hasrat untuk berhari raya dengan berbaju baru sedondon tidak kesampaian gamaknya...... yaaa, mungkin bukan rezekinya.... adik-adik turut hambar, bilamana berita disampaikan, mereka mengharapkan abang bersama di Syawal yang mulia ketika beraya di kampung.  Inilah pengalaman pertama kami sekeluarga berhari raya tanpanya..... walau di mana abang berada doa kami tetap bersama, Shafiq.... please remember that we love you so much.... and we will missed you, even Datuk Asim n family, Wak Faridah feel bad when we told them that you are not around during Syawal.....

Cinta duit....

Terkadang hati bertanya, mengapa ada insan yang tergamak untuk mengambil kesempatan di atas kebaikan dan kekurangan seseorang.  Banyak yang boleh dilihat.... contoh dan tauladan bukan saja dalam sitcom, ceritera di layar malah didepan mata juga.  Baik lelaki mahu pun perempuan, kalau andai peluang didepan mata pasti tidak dilepaskan.  Kepuasan berlipat ganda bilamana pasangannya dapat dikawal dan dijadikan lombong emasnya.  Zaman kini tidak kira jantina, sama sahaja.... harga diri sudah tidak dihirau apa yang penting hidup mewah dan tiada masaalah kewangan.  Harga diri diletakkan di barisan terakhir yang difikirkan kemewahan adalah segala. Tidak pernah difikir bagaimana sipasangan yang dikikis berkorban segala hingga sanggup meminta-minta pada orang tua.  Situa yang lurus, percaya bahawa itulah tanggungjawab dan keperluan sianak.  Demi kasih..... itulah ingat si ibu dan ayah.  Namun si anak tetap leka, demi cinta sanggup mempergunakan ringgit si tua untuk cinta hatinya..... malang sungguh nasib si ibu dan ayah..... kerana pelaburannya sia-sia belaka. Lebih menyayat ibu dan ayah sanggup mengikat perut demi anak yang dikasihi. Percuma rezeki yang dicari selama ini tersalur ke insan yang tidak seharusnya menerimanya.....
Wahai sipenerima.... ingatlah, setiap pemberian yang kamu terima walau katanya iklas dari hati, namun andai ianya bukan hak kamu, maka ianya tidak akan mendapat keberkatan.  Hanya sebagai ingatan untuk yang dikasihi khusus untuk anak-anak ku, jangan sekali-kali menerima pemberian yang bukan milik kita.  Dan jangan juga mudah memberi tanpa tujuan selain untuk jalan Allah, terkecuali itu adalah tanggungjawab, namun tanggungjawab sianak andai lelaki adalah lebih kepada menyara dan menyenangkan orang tuanya sehingga hayat situa, bukan kekasih hati yang dalam hukum agama tidak langsung menyatakan adanya kewajipan menyara buah hati kononnya......!  Bukan tujuan untuk menegah dari sedekah, kerana bersedekah ada syarat-syarat yang sudah termaktub untuk pemberi sedekah dan penerima sedekah....  Bersedekah ke jalan Allah adalah yang terbaik dan wajar dilaksanakan mengikut hukum agama, bukan bersedekah untuk mengharapkan ganjaran dan membeli cinta dan simpati.... lain jadinya dan salah tafsirannya.  Kesilapan banyak adalah.... membeli cinta dengan kemewahan, dan memberi cinta bila mendapat kesenangan tanpa berfikir bahawa cinta yang dibeli itu hanya sementara sementara wangnya mewah, tapi bila lombong emas kontang.... maka pudarlah cintanya, pupuslah kasihnya dan hilanglah perasaannya....

Selasa, Ogos 07, 2012

Baju raya buat Embah....

17 Ramadan bersamaan 06.8.2012 (Isnin), merupakan cuti umum bagi negeri Selangor bersempena Nuzul Quran.  Peluang cuti hujung minggu yang agak panjang dari Sabtu kami ambil untuk balik ke kampung suami di Teluk Intan untuk berbuka dan bersahur bersama ibu mertua ku.  Kebetulan ramai pula ipar-duai yang balik sempena puasa. Suasana berbuka dan bersahur memang meriah.  Namun apa yang jelas Ibu mertua ku kelihatan bertambah uzur gamaknya, dia sudah pun menggunakan 'walking frame' tapi aku kagum dengan kekuatan semangatnya, di usia 80an dia masih lagi mampu untuk menguruskan 5 orang cucu yang tinggal bersamanya.  Rasa sayunya hati bila dia bersuara....."tak taulah.... mak ni dapat lagi ke beraya dengan kamu orang tahun depan..." kami berpandangan, apapun kami faham naluri tuanya mengingatkan kami bahawa keadaannya yang semangkin uzur tidak akan mengizinkan dia bertahan lama.  Kepulangan kami bersama buah tangan, baju dan tudung sedondon raya buatnya, tapi agak menyedihkan bilamana baju yang aku tempah khas, kain cotton lembut berwarna hitam putih dari Jakel itu tidak muat dibadannya...... frustnyer la..! Dia mengakui bahawa keadaan fizikalnya tambah berisi khususnya dibahagian perut dan pinggulnya, well no comment.... bila usia kita meningkat sememangnya lemak-lemak lebih senang tinggal dibahagian-bahagian tersebut...:), lebih-lebih lagi keadaan Mak yang sudah kurang bergerak, sememangnya bahagian tersebut akan lebih selesa bertambah.  Kerana mahukan Emak berbaju raya, selepas berbuka kami keluar untuk mencarikan ganti baju untuknya.  Apa yang lebih membuatkan kami beria untuk mencari, kerana hampir setiap tahun baju yang kami beri akan dipakai di pagi raya.  Dania anak bongsu ku bertindak bijak apabila meminta Embahnya sehelai baju untuk dijadikan contoh saiz baju Embah.  Finally... hampir habis bazar di Teluk Intan kami jelajah baru kami temui baju kurung yang sesuai untuk Embah agar Aidil Fitri 1433 Embah masih boleh memakai baju raya yang kami beli dipagi raya sepertimana kebiasaan.  Satu masaalah Ibu mertuaku ini, dia orang yang pemalu bila berpakaian, warna bajunya harus warna yang lembut dan juga tiada kilau-kilauan!  Warna-warna pestal dan lembut, simple dan sejuk menjadi kegemarannya.  Ini sememangnya aku faham sedari awal lagi...... tips menawan hati mertua, harus tahu apa citarasanya ya..... hahahaha....  
Puan Aliah, Ibu mertuaku memang pandai menghargai setiap pemberian dari anak lelakinya, maka kerana itu Amin pasti tidak akan lupa sepasang baju baru untuk Emak.... dan menjadi tradisi ku juga setiap tahun untuk menyediakan baju raya buat ibu dan ibu mertua ku dari jenis yang sama hanya berlainan corak.  Semasa arwah mak dan bapa masih hidup, baju mereka akan aku sediakan sekali 2 pasang baju kurung, 2 pasang baju melayu dan 2 helai kain pelekat untuk mereka.  Biarpun mereka mertua namun didalam beberapa perkara aku memberikan mereka sama rata, sebagaimana emak dan bapa begitulah emak dan bapa mertuaku.  Kini yang tinggal seorang sahaja, emak mertuaku sejak 5 tahun ini perhatian kami hanya kepadanya seorang...... sedih bila dikenang-kenangkan.  Betullah seperti katanya "tak taulah... mak ni dapat lagi ker beraya dengan kamu orang tahun depan..." ngeri mengingatkan dialognya, namun itulah hakikat kehidupan... Jodoh pertemuan, hidup dan mati ditangan Tuhan, tiada yang dapat menghalang andai masanya tiba nanti.... apapun kita harus redha dengan segala ketentuan Allah.  Harapan kami ingin melihat dia bahagia dan gembira diakhir hari-harinya......InsaAllah dan semuga Allah kau perkenankanlah impian kami ya Allah....