Isnin, Januari 11, 2010

Lawatan ke kebun sawit dan ladang ternakan itek

Melihat proses pembuatan telur masin.....



Biji sawit yang berguguran terbiar....

Buah sawit yang tidak di petik.....

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini hasil buah sawit agak merundum. Nak kata harga buah turun memang turun berapa bulan yang lalu. Maka tak hairanlah kalau hasilnya begitu berkurangan tapi bila harga dah mula naik sampai 1 tan RM418.65 (harga syarikat) hasilnya masih juga tidak meningkat, ini yang mendatangkan tandatanya ku. Atas saranan Mazli, pekerja syarikat koperasi supaya aku membuat lawatan sendiri aku terima. Dan petang Sabtu 9.1.2010 aku mengajak Amin untuk menemaniku kekebun. Tapi sebelum itu aku telah pun menghubungi Abang Ali yang telah aku amanahkan untuk menguruskan kebun peninggalan arwah. Dia menyarankan supaya aku tidak masuk dalam waktu terdekat atas alasan jalan yang banyak rosak dan akan menyukarkan aku dan merosakkan kenderaan kemudian. Alasan itu tidak dapat ku terima dan tidak mematahkan aku untuk masuk ke kebun dan melihat sendiri kerja-kerja yang dibuat selama ini. Dari depan hingga ke belakang dan dari kanan ke kiri setiap sudut kami lawati setiap pokok kami teliti. Setelah melihat sendiri apa yang terjadi di kebun aku yakin dan pasti mengapa hasil merundum. Buah tidak dipotong habis, bila ku kira hampir 5 batang pokok yang tidak diturunkan buah, biji-biji sawit bertaburan tidak dikutip dipangkal pokok. Dan 3 tandan kelapa sawit tinggal tidak diangkat lori terbiar di tepi jalan, mengapa?. Terkejut dengan semua ini, aku hampir mendapat jawapan kenapa hasil bulanan semangkin merundum. Aku mendapat jawapan ku kini, tapi walaubagaimana pun aku minta supaya Abang Ali memantau pekerja-pekerjanya dengan lebih baik dan andainya tidak mungkin aku akan berkira-kira untuk menghentikan perkhidmatannya. Setiap kerja yang dibuat aku minta supaya aku dimaklumkan dan aku akan masuk untuk memeriksa kerjanya sebelum bayaran diambil.

Dari beberapa sumber yang boleh dipercayai perkara ini banyak terjadi banyak kejadian curi buah dan ada jua penyelewengan dari pekerja yang mana majikan mereka tidak tahu. Aku tidak juga menuduh, tapi apa yang aku dapati dan terbukti di kebun arwah peninggalan bapa dan emak ternyata mengecewakan aku dan mengugat kepercayaan ku.

Selepas keluar dari kebun sawit kami singgah di ladang itek Wan Ghazali atau nama timang2annya Jali yang tak jauh dari kebun ku. Melihatkan usahanya selama ini aku seronok dan menumpang gembira. Riuh bunyi suara itik yang beribu-ribu menyeronokkan dan melihat Abang Mad (bapa tiri Jali) dan pekerjanya yang sedang membuat telur masin bersama seorang pekerjanya sambil berbual tentang kebun dan kejadian yang baru kami alami. Jali adalah anak jiran arwah mak dan kami membesar bersama sebagai jiran. Dia sudah ku anggap seperti adik ku dan dia juga tinggal bersama arwah emak dan bapa semasa dia disekolah menengah semasa kedua orang tuanya berpisah. Kini beliau menjadi pembekal telur masin dan pengeluaran juga pasaran yang diterima begitu memberangsangkan. Aku membuat tempahan 2500 biji telur masin untuk bulan Julai untuk majlis perkahwinan Amy dan CT untuk bulan Julai nanti.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan