Jumaat, April 08, 2011

Telur Palsu...

Kulit telur yang aku khuatiri palsu...
Tiga butir telur yang baru dipecahkan yang aku khuatiri telur palsu...


Kerana terlupa untuk keluarkan ikan malam tadi, aku merancang untuk menggoreng telur dadar untuk hidangan makan tengahari Hani dan Dania. Tapi aku agak terkejut bila telur yang aku pecahkan cair-bair, kuning telur ketiga-tiga biji telur terus pecah, tidak seperti kebiasaan telur yang baru keluar dari peti sejuk biasanya akan cantik membulat kuningnya. Bila aku cium bau telur (hamis) langsung tiada. Teringat aku berita di TV malam tadi berkenaan dengan rampasan telur palsu yang dijual di pasar terbuka di Pulau Pinang. Kerana curiga aku memanggil Amin untuk melihat apa yang aku lihat untuk lebih pasti akan ciri-ciri yang dinyatakan tentang telur palsu di TV malam tadi. Telur yang dibeli oleh Amin di pasar besar Banting bergred A berharga RM9.50 satu papan (30 butir) lebih murah dari harga biasa.

Menurut sumber telur palsu itu bersaiz lebih besar daripada telur ayam sebenar dan apabila dipecahkan ia tidak mempunyai pusat telur, tidak berbau, berkilat dan kasar. Demikian menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Presiden CAP S.M Mohamed Idris berkata siasatan mendapati kulit telur palsu itu diperbuat daripada lilin parafin, serbuk gypsum dan kalsium karbonat manakala kuning telur dan putih telur menggunakan bahan daripada natriumalginat, alum, geletin, asid benzoik, kalsium klorida, air serta bahan pewarna makanan. Komponan bahan kimia ini boleh menjejaskan kesihatan pengguna seperti mengganggu metabolisme, otak, sel saraf serta menjejaskan fungsi hati.

Bimbang akan lebih ramai lagi pengguna yang tertipu dan keselamatan dan kesihatan sejagat aku memanggil persatuan pengguna Klang, dan aku disarankan untuk membuat aduan terus kepada Kementerian Kesihatan di bahagian Kesiahatan dan Makanan di Putra Jaya di talian 03-8883 3888. Segala butiran yang diperlukan telah aku berikan dan atas nasihat pegawai bertugas memohon agar aku boleh menyimpan telur yang aku maksudkan pagi ini didalam peti sejuk bersama kulitnya untuk mereka membuat siasatan lanjut. Semuga dengan ini para penduduk di Banting akan dapat diselamatkan dari termakan telur palsu yang berisiko untuk kesihatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan