Selasa, Januari 05, 2010

Balik ke Sekolah

Tanggal 4hb January 2010 (Isnin) bermulalah sessi persekolahan bagi anak-anak yang telah hampir sebulan setengah bercuti. Hani dan Dania sendiri begitu teruja untuk kembali ke sekolah, Dania menghitung hari untuk kesekolah sejak seminggu yang lalu. Bagi Dania dia akan menjadi murid tahun 2 dan Hani pulak akan menjadi murid tingkatan 4. Gembira dengan kedudukan Dania yang berada di kelas pertama di kedua-dua sekolah kebangsaan dan agama. Hani pulak telah dipilih dan ditempatkan di kelas Sains Kejuruteraan. Dia masih memikirkan untuk memohon pertukaran untuk ke aliran lain atau tidak. Segalanya kami serahkan kepadanya sendiri untuk membuat pilihan yang sesuai dan mengikut kemampuan dan minatnya. Semuga dia memilih yang terbaik untuk masa depannya.
Tugas aku dan Amin bermula dengan menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah berjalan seperti biasa. Memandangkan aku bercuti jadi permintaan Dania untuk bersamanya semasa waktu rehat dapatlah aku penuhi dengan kesempatan ini aku ambil untuk berkenalan dengan para ibu-ibu yang lain yang sama-sama menuggu anak-anak di kantin sekolah. Melihatkan gelagat anak-anak yang berbagai dan ibu bapa yang penuh sabar dengan kerenah anak-anak masing-masing membuatkan aku tersenyum sendiri. Tidak kurang juga dengan anak-anak yang begitu berdikari tanpa kehadiran ibu bapa atau juga kakak dan abang ketika waktu rehat mereka, kesian nampaknya mereka ini.... tapi mungkin anak-anak ini memahami keadaan keluarga mereka yang tidak dapat hadir atau mereka ini telah dimaklumkan lebih awal maka dengan itu mereka tidak mengharapkan kehadiran ibu ayah atau juga kerana mereka ini telah dilatih supaya mereka ini berdikari.
Memandangkan waktu rehat yang singkat dan ramainya murid-murid yang berbaris dan ada juga yang berebut-rebut untuk membeli makanan masing-masing, maka aku membekalkan Dania bekalan dari rumah, untuk mengelakkan dia dari berebut di kantin dan makanan yang dimakan terjamin bersih dan berkhasiat. Mujur dia juga bersetuju dan sedia untuk membawa bekal mungkin atas pengalamannya semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan