Khamis, Januari 28, 2010

Browning (Cuci Daun)



'Browning atau 'Cuci Daun' bagi ladang kelapa sawit merupakan salah satu proses penjagaan pokok kelapa sawit supaya kelapa sawit dapat menghasilkan buah yang baik. Pelepah kelapa yang sudah tua harus dipotong buang supaya pembesaran buah sawit tidak terganggu. Proses cuci daun boleh dilakukan semasa penurunan tandan sawit sekiranya mahu. Tapi kebanyakan pekerja lebih senang dengan kerja Browing dibuat berasingan dan upah yang akan diperolehi untuk tugas Browing juga dikira satu kerja yang lain, berbanding sekiranya Browing dibuat semasa pemotongan buah sawit maka pekerja akan di kira rugi kerana melakukan 2 tugas dengan 1 upah sahaja. Pokok yang tidak di Browing kurang menghasilkan buah dan biasanya tandan akan lebih kecil dari biasa. Upah bagi kerja-kerja browing untuk 2 ekar sebanyak RM170.00.
Sabtu 31.01.2010 telah mendapat persetujuan Amin untuk menemani aku untuk ke kebun sekali lagi setelah kerja-kerja cuci daun dijalankan oleh pekerja-pekerja Abang Ali. Aku meminta supaya kerja 'Browning' dibuat dan segala pelepah-pelepah kelapa disusun baik untuk memudahkan kerja pemotongan dan laluan keluar dan masuk ke kebun. Panggilan Abang Ali pada 27.01.2010 mengatakan bahawa pokok-pokok yang tidak dipotong buahnya pada lawatan kami yang lalu telah pun dipotong dan pekerja yang membuat kerja di kebun telah pun diberikan amaran supaya membuat kerja dengan lebih teliti. Walau apapun keputusan samada kerja yang dibuat itu mengikut kepuasan kami atau tidak hanya akan dapat ditentukan pada hari Sabtu nanti apabila kami membuat lawatan sekali lagi.

Seandainya kerja yang dibuat tidak memuaskan hati, memandangkan bayaran upah dibayar mengikut bayaran semasa tanpa ragu. Aku tidak akan teragak-agak untuk mendapatkan perkhidmatan orang lain untuk membuat kerja-kerja diladang nanti.

Rawatan bermula

Seperti biasa aku ke pusat kesihatan Teluk Datok seawal 7.40pagi, mendapatkan nombor (3012) dan menunggu 20 minit, nurse bertugas memanggil untuk mendapatkan bacaan tekanan darah pagi ini. Bacaan 150/100 mmHg berbading dengan bulan lepas 31.11.2009 adalah 160/100 mmHg. Aku telah pun memulakan pengambilan ubat bermula pada 5.11.2009 bila mana bacaan tekanan darah pada waktu itu adalah 145/90 mmHg. Memandangkan tekanan yang tidak stabil bulan lepas Doctor menyarankan aku mengambil tambahan Vamlo 5 (5mg) dan Covapril (4mg) untuk tekanan darah tinggi dan Lestric (20mg) untuk kolestrol sebelum tidur, bacaan kolestrol ku pada November 2009 ialah 5.8. Memandangkan tekanan yang masih tinggi Doktor menyarankan aku mengambil Vamlo 5 (10mg) bermula hari ini..... geram betullah dengan tekanan yang tinggi ni.... aku berazam dalam masa 2 bulan ini akan mengawal pemakanan dan melakukan riadah bagi mengawal tekanan darah. Insaallah.... itu janji ku pada Dr. Herman Mohamad, Doktar yang merawat aku dari bulan November 2009 aku akan cuba menyetabilkan tekanan sebelum 25.3.2010 untuk rawatan selanjutnya. Tapi rasanya bukan faktor makan yang menjadikan keadaan ini, tapi memang aku akui sejak kebelakangan ini, aku mudah marah dan melenting. Keadaan ini menyebabkan juga aku jadi sensitive dan susah untuk tidur waktu malam. Banyak yang nak difikirkan.... rasanya tak ada perkara yang boleh diambil ringan, semuanya perlu diselesaikan maka dengan kerana itu menjadikan gejala-gejala tekanan/stress dan tension biarpun setengah masaalah itu bukan dari anak-anak dan suami tapi ianya tetap akan singgah difikiran untuk aku renungkan dan selesaikan demi mendapatkan penyelesaian sempurna.

Walau bagaimana pun aku tetap akan memulakan episode mengatakan tidak kepada sang kicap, sos, fast food and all the related food yang mengandungi bahan yang menggalakan kenaikan tekanan darah...... from now will stats a healthy diet.....

Selasa, Januari 26, 2010

My Weekend

Seperti kebiasaannya hujung minggu akan aku penuhi dengan kerja2 rumah. Walaupun ianya routine namun masa hujung minggu ini memang istimewa kerana masa yang agak panjang yang boleh digunakan untuk menyelesaikan banyak kerja rumah yang tidak dapat dibuat di hari-hari biasa. Agak terkejut bila mendapat panggilan dari Shafiq mengatakan dia dibenarkan pulang hujung minggu kerana ada masaalah belakan air di Universiti. Anyway sememangnya kami maklum sejak minggu lepas ketika kami menziarahinya di Universiti, kami rasa langkah bijak pihak pengurusan menghadapi masaalah yang sementara ini. Kebetulan Shafiq injured di lutut kiri, bahana Rugbi game pada 9.1.2010 (selasa), absent 3 hari tapi nampaknya macam teruk bengkak di kaki kiri. Sabtu aku bawa dia ke klinik panel Dr. Ravinder. Setelah di periksa doktor menyarankan supaya berihat selama 4 hari dan light duty selama 2 minggu... tapi biasalah Shafiq perangainya tak berubah dari dulu, biasanya dia akan ketepikan surat MC tu. Masak dengan perangainya..... sayang sangat dia nak tinggalkan games dia tu...... tempoh 3 hari sekiranya sakitnya berterusan Doktor menyarankan supaya dia mendapatkan rawatan ke PPUM or other hospital for MR2, memandangkan kecederaannya melibatkan ligemen lutut dan imbasan X-ray tidak akan dapat membantu melihat kecederaannya.

Memandangkan anak-anak semua di rumah dan Ejai (kawan Shafiq dari Tawau yang kami anggap seperti anak) pun ada sama maka bertambah meriahlah waktu makan kami. Setiap kali kedapur aku pastikan hidangan dapat menepati selera semua orang. Alhamdulillah setiap yang dihidangkan dapat menepati citarasa dan menambat selera anak-anak dan suami, dari sarapan hingga ke makan malam waktu makan sememangnya menyeronokkan. Nasi goreng, nasi lemak, mee hoon, gulai nenas ikan masin, telur itek masak lemak, sambal telur, ikan keli berlada, sup sayur, ubi rebus, getuk ubi goreng menjadi menu sepanjang minggu. Nampaknya Ejai yang pada mulanya tak pandai makan masakan yang pedas, sekarang menjadi penggemar masakan pedas. Melihat seleranya makan tak lama lagi Ejal pasti boleh jadi gemuk !!

Isnin, Januari 11, 2010

Lawatan ke kebun sawit dan ladang ternakan itek

Melihat proses pembuatan telur masin.....



Biji sawit yang berguguran terbiar....

Buah sawit yang tidak di petik.....

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini hasil buah sawit agak merundum. Nak kata harga buah turun memang turun berapa bulan yang lalu. Maka tak hairanlah kalau hasilnya begitu berkurangan tapi bila harga dah mula naik sampai 1 tan RM418.65 (harga syarikat) hasilnya masih juga tidak meningkat, ini yang mendatangkan tandatanya ku. Atas saranan Mazli, pekerja syarikat koperasi supaya aku membuat lawatan sendiri aku terima. Dan petang Sabtu 9.1.2010 aku mengajak Amin untuk menemaniku kekebun. Tapi sebelum itu aku telah pun menghubungi Abang Ali yang telah aku amanahkan untuk menguruskan kebun peninggalan arwah. Dia menyarankan supaya aku tidak masuk dalam waktu terdekat atas alasan jalan yang banyak rosak dan akan menyukarkan aku dan merosakkan kenderaan kemudian. Alasan itu tidak dapat ku terima dan tidak mematahkan aku untuk masuk ke kebun dan melihat sendiri kerja-kerja yang dibuat selama ini. Dari depan hingga ke belakang dan dari kanan ke kiri setiap sudut kami lawati setiap pokok kami teliti. Setelah melihat sendiri apa yang terjadi di kebun aku yakin dan pasti mengapa hasil merundum. Buah tidak dipotong habis, bila ku kira hampir 5 batang pokok yang tidak diturunkan buah, biji-biji sawit bertaburan tidak dikutip dipangkal pokok. Dan 3 tandan kelapa sawit tinggal tidak diangkat lori terbiar di tepi jalan, mengapa?. Terkejut dengan semua ini, aku hampir mendapat jawapan kenapa hasil bulanan semangkin merundum. Aku mendapat jawapan ku kini, tapi walaubagaimana pun aku minta supaya Abang Ali memantau pekerja-pekerjanya dengan lebih baik dan andainya tidak mungkin aku akan berkira-kira untuk menghentikan perkhidmatannya. Setiap kerja yang dibuat aku minta supaya aku dimaklumkan dan aku akan masuk untuk memeriksa kerjanya sebelum bayaran diambil.

Dari beberapa sumber yang boleh dipercayai perkara ini banyak terjadi banyak kejadian curi buah dan ada jua penyelewengan dari pekerja yang mana majikan mereka tidak tahu. Aku tidak juga menuduh, tapi apa yang aku dapati dan terbukti di kebun arwah peninggalan bapa dan emak ternyata mengecewakan aku dan mengugat kepercayaan ku.

Selepas keluar dari kebun sawit kami singgah di ladang itek Wan Ghazali atau nama timang2annya Jali yang tak jauh dari kebun ku. Melihatkan usahanya selama ini aku seronok dan menumpang gembira. Riuh bunyi suara itik yang beribu-ribu menyeronokkan dan melihat Abang Mad (bapa tiri Jali) dan pekerjanya yang sedang membuat telur masin bersama seorang pekerjanya sambil berbual tentang kebun dan kejadian yang baru kami alami. Jali adalah anak jiran arwah mak dan kami membesar bersama sebagai jiran. Dia sudah ku anggap seperti adik ku dan dia juga tinggal bersama arwah emak dan bapa semasa dia disekolah menengah semasa kedua orang tuanya berpisah. Kini beliau menjadi pembekal telur masin dan pengeluaran juga pasaran yang diterima begitu memberangsangkan. Aku membuat tempahan 2500 biji telur masin untuk bulan Julai untuk majlis perkahwinan Amy dan CT untuk bulan Julai nanti.


Selasa, Januari 05, 2010

Balik ke Sekolah

Tanggal 4hb January 2010 (Isnin) bermulalah sessi persekolahan bagi anak-anak yang telah hampir sebulan setengah bercuti. Hani dan Dania sendiri begitu teruja untuk kembali ke sekolah, Dania menghitung hari untuk kesekolah sejak seminggu yang lalu. Bagi Dania dia akan menjadi murid tahun 2 dan Hani pulak akan menjadi murid tingkatan 4. Gembira dengan kedudukan Dania yang berada di kelas pertama di kedua-dua sekolah kebangsaan dan agama. Hani pulak telah dipilih dan ditempatkan di kelas Sains Kejuruteraan. Dia masih memikirkan untuk memohon pertukaran untuk ke aliran lain atau tidak. Segalanya kami serahkan kepadanya sendiri untuk membuat pilihan yang sesuai dan mengikut kemampuan dan minatnya. Semuga dia memilih yang terbaik untuk masa depannya.
Tugas aku dan Amin bermula dengan menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah berjalan seperti biasa. Memandangkan aku bercuti jadi permintaan Dania untuk bersamanya semasa waktu rehat dapatlah aku penuhi dengan kesempatan ini aku ambil untuk berkenalan dengan para ibu-ibu yang lain yang sama-sama menuggu anak-anak di kantin sekolah. Melihatkan gelagat anak-anak yang berbagai dan ibu bapa yang penuh sabar dengan kerenah anak-anak masing-masing membuatkan aku tersenyum sendiri. Tidak kurang juga dengan anak-anak yang begitu berdikari tanpa kehadiran ibu bapa atau juga kakak dan abang ketika waktu rehat mereka, kesian nampaknya mereka ini.... tapi mungkin anak-anak ini memahami keadaan keluarga mereka yang tidak dapat hadir atau mereka ini telah dimaklumkan lebih awal maka dengan itu mereka tidak mengharapkan kehadiran ibu ayah atau juga kerana mereka ini telah dilatih supaya mereka ini berdikari.
Memandangkan waktu rehat yang singkat dan ramainya murid-murid yang berbaris dan ada juga yang berebut-rebut untuk membeli makanan masing-masing, maka aku membekalkan Dania bekalan dari rumah, untuk mengelakkan dia dari berebut di kantin dan makanan yang dimakan terjamin bersih dan berkhasiat. Mujur dia juga bersetuju dan sedia untuk membawa bekal mungkin atas pengalamannya semalam.