Isnin, September 19, 2011

Pemulihan bermula...

Sup Haruan ternyata berkhasiat dan berkemampuan membantu proses pemulihan luka pada tubuh dan kulit. Maka itu, Sup haruan ala mamak ini menjadi menu harian ketika di rumah.



Teringat akan kata penjual ikan di pasar malam Jenjarom beberapa malam yang lalu, lantas lepas waktu pejabat aku selusuri jalan kampung Jenjarom dari satu lorong ke satu lorong untuk mencari penternak Haruan. Telah hampir aku dipenghujung kampung masih belum bertemu, tergerak aku berhenti di sebuah kedai ditepi jalan kampung. Lantas aku terpandang tulisan 'HARUAN' digantung di muka depan kedai. Alhamdulillah... akhirnya aku berjaya menjejak lokasi penjual haruan yang dimaksudkan. Hasrat untuk memberikan Shafiq sup haruan untuk pemulihan luka pembedahannya harus aku mulakan secepat mungkin, memandangkan inilah peluang aku untuk melihat supaya dia segera dapat dipulihkan. Khasiat ikan haruan sememangnya sudah terbukti berkesan membantu luka dan penyembuhan luka pada tubuh dan kulit. 3 ekor haruan liar yang masih hidup seberat 900gm aku bayar sebanyak RM20.00, harga yang di mohon RM18.00 sebenarnya namun itulah rezeki penjual hari itu. Menurutnya harga pasaran 1kg adalah RM25.00.

Sebelum Shafiq sampai di rumah, sup harus sudah terhidang... itulah azam ku. Dan bermulalah operasi menamatkan riawayat sang haruan yang sungguh ampuh! menyiang dan membersih 3 ekor haruan sahaja memakan masa hampir 30 minit!. Aku sudahpun berkira untuk memasak sup yang selazat mungkin supaya tiada berbau hamis dan ianya boleh menambat selera Shafiq. Ingat pesan sipenjual haruan tadi supaya tidak membasuh dengan terlalu bersih agar khasiatnya kekal. Tapi mana mungkin sedang dibasuh bersih juga masih berbau inikan pula jangan dibasuh bersih. Aduhai mana mungkin? Aku gunakan tepung gandum untuk membuangkan segala lendir pada sang haruan, sebanyak 2 kali aku cuci dengan tepung gandum supaya hilang bau yang kurang enak (inilah petua yang diperturunkan kepada ku). Lebihkan penggunaan halia pesanannya juga tadi. Sup haruan mamak! resipi hidangan malam kami... untuk membuatkan Shafiq makan ikan dan sup, kami seisi rumah juga menikmati hidangan yang sama, kesudahan 3 pinggan habis dimakan oleh Shafiq, puas hati ku melihatkan akan selera makannya. Alhamdulillah..... apa yang aku masak menepati seleranya dan semuga ini akan dapat membantu proses penyembuhannya. Menurutnya jahitan pembedahan masih tidak boleh dibuka dan hanya akan dibuka pada 28.09.2011 nanti.

Keadaan Shafiq amat menyedihkan aku, walaupun baru seminggu dia pulang ke Universiti, dia tampak jelas pucat dan kekeringan. Matanya cengkung dan mukanya mengecut, sedih hati melihat keadaannya yang jelas tidak terurus begitu. Menurutnya selama beberapa hari dia tidak lena tidur kerana sakit yang melampau, walaupun telah menelan ubat penahan sakit. Di rumah diet hariannya dijaga rapi, sebiji buah Kiwi setiap pagi, kerana kandungan vitamin C yang tinggi dibandingkan dengan buah-buahan yang lain. Lebih hidangan sayur dan minum lebih air, agar kesihatannya kembali pulih. Walau dia merungut berat badannya mula menaik dan berhajat mengawal diet hariannya, aku maklumkan sementara peluang bercuti di rumahlah dia harus menjaga cara permakanan, tidur yang cukup, dan makan ubat mengikut waktu supaya kesihatannya dapat pulih lebih awal dari sepatutnya. Apa yang kami khuatiri dia terpaksa pulang semula ke Universiti sebelum dia betul-betul pulih dan mendapat penjagaan yang sepatutnya. Memikirkan dia harus melakukan banyak perkara sendirian bilamana teman-teman yang lain pastinya sibuk dengan kuliah dan aktiviti harian mereka. Walaubagaimana pun terima kasih kami yang tidak terhingga kerana selama Shafiq di Universiti selepas keluar dari Hospital, teman-teman seangkatannya ramai yang membantu dan merawatnya. Terima kasih dari Cik Su sekeluarga.... hanya Allah saja yang dapat membalas segala kebaikan kalian..... WaAllahualam....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan