Rabu, Mac 31, 2010

Nagasari (Tumtuman)

Kuih Nagasari dibungkus begini....
Rupa Kuih yang telah dimasak.....

Semalam pagi aku ke pasar besar Banting untuk mengambil pucuk betik yang aku janjikan dengan salah seorang makcik yang menjual hasil kampung. Kebetulan memang ada Makcik yang menjual kuih ditepi pasar ditepi belakang warong-warong yang menghadap pasar, maka aku pun singgah untuk melihat kalau-kalau ada yang berkenan sebagai sarapan pagi untuk ku bawa kepejabat. Tiba-tiba terpandang kuih yang mengingatkan aku pada seseorang yang pakar dalam pembuatan kuih ini. Kuih 'Nagasari' atau juga dengan nama lainnya 'Tumtuman'. Sekiranya ada pisang masak hasil tanamannya sendiri, setelah diagih-agihkan dengan jiran dan adikberadiknya selebihnya pasti akan diolah menjadi kuih kegemarannya ini. Kuih yang sudah dimasak pun akan diagih-agihkan dengan jiran-jiran dan adik-adiknya yang tinggal berhampiran. Itulah Arwah Mak, dia tidak pernah lokek dengan apa yang ada dan sentiasa berkongsi rezekinya. Kerana itu dia menjadi kesayangan dan kesenangan jiran kami, especially Kak Seri, Kak Semah, Kak Yah dan Arwah Wak Embam dan Wak Enjah. Teringat masa zaman remaja, aku sering membantu emak memasak adunan tepung, santan dan gula yang perlu dimasak, apabila adunan mengelegak dia akan meletup-letup.... kalau nak tau inilah yang buat aku merungut dengan mak bila pecikan tepung panas tu terkena di lengan..... ia kini menjadi memori bersama arwah ketika didapurnya, dan adunan tadi akan dibungkus dengan daun pisang sebelum dibungkus diletakkan pisang yang sudah dipotong serong ditengah-tengah adunan tepung dan dikukus sehingga masak. Kuih ini juga sedap dimakan sekiranya sejuk (Chill). Bahan-bahan yang digunakan tidak lah banyak cuma, tepung beras, santan, gula ikut rasa, secubit garam, pisang (pisang yang sesuai untuk kuih ini ialah pisang raja, pisang abu dan pisang awak juga sesuai), daun pisang untuk membungkus dan lidi untuk menyepat bungkusan, juga boleh di steplerkan untuk memudahkan selain dari penggunaan lidi.

Bagi yang ingin merasanya bolehlah mendapatkannya di Pasar Besar Banting, tapi ianya tidaklah sesedap buatan Arwah Mak..... bukan hendak memuji tapi itulah hakikatnya, tapi aku berkata yang benar.... kuih yang arwah buat cukup lemak manis dan lembut adunannya. Terdetak dihati untuk mencubanya satu hari nanti.... InsaAllah aku akan cuba untuk menjadikan kuih ini kuih tradisi keluarga dan akan aku cuba membuatnya sesedap hasil tangan arwah..... pada anak-anak akan ku maklumkan inilah kuih kegemaran arwah Nenek Nong, kuih tradisional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan