Isnin, Februari 07, 2011

Kunjungan pengantin baru..

Semalam (Ahad 06.02.2011) aku dikunjungi pengantin baru, pasangan Nazrin dan Kureen bersama makcik ku Hajjah Aliah. Kunjungan bersama berita gembira, kerana aku dimaklumkan bahawa Kureen sudah pun berbadan dua dan bakal menjadi ibu pada penghujung bulan August nanti. Inilah yang dikatakan orang 'buting pelamin' iaitu wanita yang baru bernikah tidak kedatangan bulan dari tarikh dia dinikahi, itulah rezeki kurniaan Allah. Mudah-mudahan pasangan ini akan dikurniakan zuriat yang soleh/soleha, sihat dan ramai.... insaAllah. Seperti kebiasaannya bila pengantin datang berkunjung tuan rumah akan memberikan sesuatu sebagai hadiah. Hadiah ini terpulanglah kepada orang yang diziarahi untuk memberi apa-apa juga, sebagai tanda ingatan kepada pasangan baru ini. Tapi sekiranya tiada apa yang hendak diberikan juga tidak menjadi masaalah, ia hanyalah sebagai tanda ingatan. Aku sebenarnya telah pun menyediakan sehelai kain batik dan kain pelikat untuk pasangan ini sebagai tanda mata dan terima kasih diatas kunjungan mereka yang sudi menziarahi kami. Sebenarnya sememangnya menjadi adat pengantin baru selepas majlis mereka digalakkan untuk membawa pasangan isteri atau suami kerumah saudara-mara tua dan rapat untuk memperkenalkan pasangan masing-masing sambil mengiratkan lagi silatulrahim. Namun rasanya amalan ini agak kurang dipraktikkan, mungkin kerana kesibukkan waktu kebanyakkan kita. Teringat aku kepada teman ku Sarimah, yang berasal dari Melaka. Ketika dia menjadi pengantin baru, dia pergi berziarah ke rumah saudara-maranya dengan berbekalkan 'bakul sia' yang berisikan manisan yang dibuat khas untuk pengantin sebagai buah tangan ketika menziarah. Biasanya manisan itu berupa kuih bahulu atau wajik, yang diisikan didalam bakul sia dan akan diserahkan kepada orang yang diziarahi. Dan sebagai balasan orang yang diziarahi akan mengisikan bakul sia tersebut dengan hadiah yang berupa ringgit atau apa-apa juga barang tanda penghargaan atau hadiah kepada pasangan pengantin baru yang berkunjung. Aku kira adat ini baik dan wajar menjadi ikutan bagi generasi muda sebagai tanda terima kasih kerana kebiasaannya orang yang diziarahi ini merupakan warga tua yang telah bertungkus lumus membantu menjayakan majlis kenduri kahwin mereka.
Ketika berziarah juga seelok dan semanisnya pasangan berpakaian kemas dan sesuai sebagai pasangan pengantin baru. Terkenang aku kepada pasangan yang menziarahi aku suatu waktu dahulu, tapi tidak wajar aku nyatakan siapakah gerangannya, demi untuk menjaga nama baik mereka. Dimana pengantin perempuannya datang dengan memakai seluar getah dan kemeja T sendat dan pengantin lelaki pula berkemeja T lusuh dengan seluar Jeans. Keadaannya sangat jauh berbeza ketika mereka dipersandingan, bayangkan ketika itu make-up punyalah cun! macam artis! tapi lepas kawin lipstick pun tak pakai! Kenapalah tip dan teknik make-up pengantin sedikit sebanyak tidak digunakan untuk kelihatan menarik dan menawan hati suami? sedangkan baru beberapa hari majlis berlangsung. Kalau ditengok sekali imbas, memang langsung tidak seperti pengantin baru, nampaknya seperti orang yang baru balik dari taman berjalan-jalan, cuma yang membezakan hanyalah inai yang merah dijari. Ini mengingatkan aku dengan arwah nenek dan mak ku yang selalu berpesan tentang pakaian. katanya "pakai baju tu biarlah yang senonoh..!" baju yang cantik yang mahal tu dalam almari untuk apa kalau tidak dipakai? bukan ke manis kalau pengantin pakai baju kurung.... itulah kata-kata yang selalu diperkatakan oleh dua orang insan yang telah tiada ini ketika hayatnya tentang berpakaian. Demi itulah aku menjaga pakaian ku dalam tempoh bulan madu bak kata orang tu..... hahahaha, boleh katakan sebelum majlis aku telah pun menyediakan beberapa pasang baju kurung dan kebaya khusus untuk ku pakai ketika menziarah dan sepanjang tempoh gelaran pengantin baru sememangnya dititik beratkan. Sebenarnya dalam masa bergelar pengantin baru apa juga yang dikenakan dibadan menjadi pandangan. Jadi ingin aku berpesan kepada yang mengikuti blog ni, supaya mana yang difikirkan baik jadikanlah ikutan dan amalan, biarpun ianya agak ketinggalan zaman namun ianya memberikan kita banyak kebaikan juga. Salah satu baju kurung yang aku tempah khas untuk selepas majlis persandingan ku ada diblog ini (kurung modern biru gelap dengan garisan emas masih elok dan cantik dalam simpanan ku) Mudah-mudah perkara baik yang kita amalkan dan kongsikan Allah berikan kita ganjaran yang setimpal. InsaAllah....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan