Ahad, Julai 18, 2010

Hujung minggu bersama anak-anak

Hampir 2 minggu kami tidak berjumpa, memandangkan ada beberapa barang keperluannya yang kekurangan, kami bercadang untuk ke U berjumpa diwaktu makan tengahari. Macam biasa kalau dah ke U, aku pasti akan berpicnic dikawasan universiti. Memandangkan lokasi untuk menjamu selera agak kurang selesa dan jarak dari tempat letak kereta ke kawasan kami makan agak jauh maka agak sukar untuk membawa hidangan yang remeh atau lauk yang berbagai. Tiap kali kami ke UPNM, pack food saja yang sesuai dan mudah untuk dibawa. Hari ini aku hanya menyediakan nasi ayam, kek kelapa pancawarna, mangga dan teh limau untuk anak-anak. Shafiq memaklumkan bahawa temannya (Ika) yang memberikan aku 'surprise' akan mengunjunginya di University. Inilah peluang untuk kami berkenalan, memang menjadi lumrah dia akan memperkenalkan semua rakan-rakannya kepada kami. Tabiatnya sedari dia di Kusses lagi. Satu keistimewaannya kerana biasanya dia juga akan bercerita tentang setiap kenalannya.
Bila dah berkumpul, anak-anak akan bercerita perkembangan diri mereka juga segala suka dan duka perjalanan hidup seorang kadet didalam pengajian yang begitu mencabar. Seperti biasa Ejai memang pandai melawak, riuh suasana dengan gelagatnya. Zame agak kurang sihat sejak beberapa hari katanya, tapi bila dah berjumpa dan berkumpul seperti biasalah sakat menyakat tak habis antara mereka. Kumpulan kami kurang keahlian bilamana Zuhir tidak dapat bersama kerana 'cirit birit' kesian dia.... mungkin ada tersalah makan atau keracunan makanan agaknya. Walau bagaimanapun aku bekalkan anak-anak ini sedikit makanan untuk dikongsikan bersama Zuhir yang ketinggalan dalam pertemuan kami hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan