Khamis, Julai 07, 2011

Cinta, Kasih dan Sayang.....

Melihat perkembangan anak-anak yang membesar, macam-macam kelaku dan kejadian. Zaman remaja anak-anak masa kini agak berbeza dari zaman aku dulu. Dari yang bongsu hingga yang sulung, ragam anak-anak berbagai. Anak teruna ku yang sulung baru 20 tahun, masih berlajar lagi, tapi dah mula berjinak-jinak dengan cinta. Dari belasan tahun usianya, aku lihat dia begitu mudah jatuh sayang...... cuma bagusnya dia tidak berahsia bila berpacaran...... kononnya. Berani aku katakan begitu kerana dia sebenarnya tidak tahu membezakan rasa dan perasaan cinta, kasih dan sayang itu sebenarnya. Bagi anak remaja, bila dah berkenan dengan seseorang maka cintalah namanya tu....! Diantara perasaan Cinta, Kasih dan Sayang sebenarnya berbeza dan punya persepsinya yang tersendiri sekiranya dianalisa. Aku pusing melihat post status dan blognya. Luahan rasa dan perasaannya..... Sebagai insan kita bebas untuk meluahkan, there is no objection! tapi luahan itu tidak seharusnya dengan ungkapan, luahan boleh juga dengan perlakuan dan perbuatan, luahan yang keterlaluan boleh merosakkan prestasi diri kita sendiri tanpa kita sedari. Namun aku masih berharap ini merupakan proses pembelajaran mengenali diri dan kehidupan. Aku tidak pernah menghalang pergaulannya, namun biarlah ianya berlandaskan nilai-nilai adat budaya dan ugama. Biarpun anak-anak bebas memilih teman untuk dijadikan teman, namun seeloknya jangan sampai pelajaran dan pengajian terganggu. Memandangkan keasyikan bercinta kononnya melibatkan dan mengorbankan banyak masa juga wang. Bayangkan panggilan talipon yang berpuluh-puluh ringgit seminggu/sebulan dan berjaga hingga lewat malam semata-mata untuk bersembang di talian dan internet? Biar dia anak lelaki atau perempuan aku memang tidak menggalakkan mereka bergayut ditalipon hingga lewat malam. Tidak manis anak dara bercakap ditalipon begitu, selalu aku ingatkan pada Hani supaya memaklumkan kepada kawan-kawannya supaya tidak menalipon atau sms selepas jam 10.00 malam. Aku maklumkan padanya sekiranya "kawan kakak hormat yang kakak ni masih belajar dia sepatutnya hormat dan tahu batas waktu untuk memanggil atau sms seorang pelajar..." pernah juga aku mengambil handphonenya pabila dia engkar. Aku sering memerhatikan perlakunya tanpa disedari. Dan aku juga pernah menalipon teman yang menaliponnya pada lewat malam....... Sama ada dia lelaki atau perempuan aku jelaskan undang-undang yang telah kami kenakan dengan baik dan cara yang berdiplomasi. Aku tidak mahu anak ku malu dengan teman-temannya dan begitu aku mahu temannya menghormati waktu anak gadis ku sebagai seorang pelajar. Beberapa peluang dan teguran sering menerpanya, dia tidak lepas dari pandangan dan pendengaran kami sebagi ibu bapa. Begitu juga aku tidak suka anak bujang ku mengganggu anak dara orang dengan panggilan talipon lewat-lewat malam. Segala ini kami lakukan untuk kebaikan anak-anak ku. Batas waktu dan pergaulan biarlah mengikut lunas dan norma-norma ugama dan budaya. Remaja harus tahu membataskan pergaulan biarpun mereka tidak didepan ibu bapa, tingkah laku remaja sebenarnya melambangkan imej ibu bapa, demi itu jagalah imej orang tua kita, jangan kerana perasaan kita hilang pertimbangan dan sanggup mengingkari hukum Allah dan mengaibkan keluarga sendiri..... sekiranya kita tahu menghormati diri kita sendiri pastinya orang lain juga akan menghormati diri kita...... bak kata pepatah, Bagaimana acu begitulah kuihnya..... cuba renungkan.... acuan yang bagaimanakah yang ibu bapa kita bentukkan untuk kita?

1 ulasan: